"Mari Bersidang di Mahkamah Hati"
Sering diperingatkan bahawa dosa itu sesuatu yang meresahkan. Tidak ada ketenangan dan kebahagiaan dalam melakukan dosa. Jika adapun hanya sementara, kemudian rasa gelisah itu akan datang lagi dengan lebih menggigit. Rasa bersalah itu sangat menyeksa selagi tidak ditebus dengan maaf dan taubat. Bersalah dengan manusia pun sudah cukup meresahkan, apatah lagi berdosa kepada Allah.
Orang yang berdosa ialah orang yang bersalah. Orang bersalah perlu diadili di mahkamah. Mahkamah pengadilan ada tiga.
1) Mahkamah di dunia
- Yang mana saksi, pendakwa dan hakimnya ialah manusia. Acap kali, denagn kebijaksanaan dan kelicikan, mahkamah dunia terpedaya. Justeru seringkali yang bersalah terlepas, sebaliknya yang benar pula terhukum. Lalu,masyhurlah kata orang yang bijaksana bahawa tidak ada keadilan yang mutlak di dunia ini.
2) Mahkamah akhirat
- Yang hakimnya ialah Allah Yang Maha Adil. Disana nanti, yang benar pasti menang, yang salah pasti kalah. Akan ketara segalanya walau sepandai mana sekalipun bersilat kata. Saksi dan bukti sangat autentik dan tidak dapat dipertikaikan lagi. Apayang ada pada diri akan "hidup" untuk menjadi saksi dan pendakwa. Kulit tangan kaki dan segala anggota akan menjadi saksi.
3) Mahkamah hati
- Saksi,pendakwa dan hakimnya ialah hatinya sendiri. Hati kecil yang sentiasa berkata benar walau cuba dinafikan dan dipendamkan oleh tuannya. Protes hati kecil ini terhadap perlakuan dosa sentiasa bergema dalam rahsia. Fitrahnya akan menjerit. Itulah jeritan batin yang mampu menghantar pemiliknya ke lembah sakit jiwa yang menyesakkan.
Ya, dosa boleh disembunyikan dan dinafikan di belakang manusia, tetapi mana mungkin disembunyikan daripada Allah dan diri sendiri. Jadi, bagaimana kita boleh menafikan kesalahan dan dosa apabila diadili oleh mahkamah hati? Setiap masa, setiap ketika dan pada setiap suasana, hati kecil akan bersuara. Ia tidak teqa denagn kesalahan. Ia tidak rela dengan kemungkaran.
Dosa itu sangat memberi keaan kepada hati. Apabila kita berdosa, hakikatnya kita melakukan dua "perlanggaran". Pertama, perlanggaaran atas fitrah hati yang secara tabiinya baik. Kedua, perlanggaran terhadap hak Allah, Zat Yang Maha Tinggi. Dua perlanggaran ini sudah cukup meragut ketenangan.
Jangan dilawan fitrah hati yang menyukai kebaikan dan membenci kejahatan. Fitrah ini kurniaan Allah,yang dengannya manusia boleh menerima pengajaran dan didikan. Jika fitrah yang suka akan kebaikan itu disubur, dididik dan dipimpin, maka jalan hidup akan hamrmoni dan bahagia. Sebaliknya, jika fitrah yang baik itu diabaikan apatah lagi dinafikan, tunggulah penderitaan dan kesempitan.
Oleh sebab itu, awaslah wahai setiap diri kerana dosa itu umpama racun. Bahananya akan merosakkan diri secara perlahan-lahan atau mendadak. Nikmatnya hanya seketika sedangkan dosanya berkekalan dan akibat buruknya panjang.
Justeru, sering-seringlah bersidang di mahkamah hati. Selalulah bertanyakan hati kecil sendiri, apakah hidup kita diredhai? Berapa banyak dosa yang telah dilakukan? In-shaa Allah, hati itu tidak akan berdusta. Di samping Allah tahu siapa kita, kita sendiri juga tahu siapakah diri kita sebenarnya. Jadi, janganlah berpura-pura. Siapa yang cuba tipu? Manusia? Allah? Atau diri kita sendiri?